Khamis, 27 Julai 2017

Pengenalan Kepada Kasut Khusus Untuk Futsal

Secara dasarnya, kasut futsal ini, ada 4 bahagian asas iaitu; 

Upper, 

Midsole,

Insole dan 

Outsole.





Upper :

- Upper ini, bahasa mudahnya, adalah 'badan' kepada kasut tersebut. Contohnya :



                              (Contoh dalam gambar ini adalah bahan Primeknit daripada Adidas)

Kebiasaannya, bahagian upper, adalah bahagian yang sering terlibat dengan situasi '1st touch' atau menyambut bola.

Upper yang bagus, adalah upper yang efektif ketika menyambut bola. Efektif di sini bermaksud, sentuhan permukaan upper dan bola terasa begitu 'grip' atau 'lekat' semasa menyambut bola dari udara seterusnya memudahkan kawalan bola.

Bahan untuk upper, biasanya kulit sintetik, kulit lembu, kulit 'full grain' (kasar &tebal), baldu (suede / velvet), kain kanvas dan juga mesh (fabrik berlubang macam kasut joging). Kalau bahan yang premium, biasanya daripada kulit kanggaru serta bahan 'breakthrough technology' contohnya Flyknit ( Nike) & Primeknit (Adidas).  

Upper yang menjadi kegilaan ramai adalah dari jenis kulit kerana ianya akan mengikut bentuk kaki si pemain selepas 3-4 kali permainan. Ianya juga agak selesa.

Cara untuk mengetahui upper yang baik, adalah dengan melakukan teknik 'basic foot stall' ataupun dengan melambung bola ke atas dan menyambut bola tersebut. Upper yang bagus, bola akan 'melekat' dengan mudah.


Insole :

- Insole pula adalah pelapik bahagian dalam kasut.



Insole yang baik, biasanya adalah insole yang lembut dan selesa. Insole yang lembut, membantu menyerap hentakan kaki dengan baik serta memberi pengalaman efek kusyen kaki yang nyaman.


Midsole :

- Midsole adalah bahagian antara upper dan tapak (outsole). Midsole juga adalah bahagian yang sangat penting selain upper. Midsole ada yang jenis tebal dan ada juga yang jenis nipis.

 (Midsole di dalam gambar (bahagian berwarna putih) adalah midsole dari bahan 'Boost' oleh Adidas)


Kenapa midsole ini penting? Ini kerana, midsole adalah bahagian yang mengimbangi impak hentakan kaki pemain futsal semasa dalam permainan. Midsole yang berkualiti juga, membantu mengurangkan risiko kecederaan terutama bahagian yang melibatkan sendi sepeti buku lali dan lutut.

Midsole juga membantu memberi efek kusyen yang bagus. Tapi, tertakluk pada ketebalan midsole juga. Selain daripada itu, midsole yang berkualiti, memberi kesan responsif kepada pemain. Responsif di sini bermaksud, impak hentakan kaki pemain ke atas gelanggang tidak terasa berat dan membuang tenaga, sebaliknya, setiap langkah terasa ringan dan melantun dengan baik dan situasi ini amat membantu pemain ketika menukar arah pergerakan dan memecut.

Midsole yang nipis, walaupun kurang memberikan efek kusyen, akan tetapi, amat membantu aspek kawalan bola kerana kaki pemain terasa lebih mencengkam bola.

Bahan untuk midsole ini, biasanya dari plastik polymer, bezanya cuma pada jenis plastik dan teknologi pembuatan sahaja. Contoh bahan adalah Boost dari Adidas, GEL dari Asics dan Lunarlon dari Nike.  Midsole yang tengah hangat pada masa sekarang adalah Lunarlon dan Boost.


Outsole :
- Bahagian terakhir adalah outsole. Nama lain bagi outsole adalah, tapak kasut.


Tapak kasut futsal yang bagus, adalah tapak yang kuat cengkaman di gelanggang. Kadang kadang, kita akan tengok label 'NON MARKING' di bahagian outsole. Non marking itu bermaksud, tapak kasut tersebut tidak akan meninggalkan tanda di dalam gelanggang dan tidak akan merosakkan permukaan gelanggang.

Berhati hati dengan tapak yang agak nipis kerana dikhuatiri boleh tercabut semasa permainan. Kalau anda seorang yang aktif dan kerap bermain futsal, jahitlah siap siap tapak kasut anda selepas beli untuk mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku.

Tapak yang lembut menjadi pilihan pemain kerana kurang menganggu pergerakan dan mengurangkan rasa sakit kaki semasa bermain.



Kesimpulan :
- Apa pun, penulisan ini, adalah sekadar sebahagian daripada pengalaman dan pendapat penulis. Ada sahaja mereka di luar sana yang boleh bermain futsal dengan baik walaupun memakai kasut kasual, badminton dan joging. Ini kerana, asas yang baik, membolehkan pemain berasa yakin dan selesa dengan apa sahaja jenis kasut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan